Poskad Tahun Baru Jepun

Bahan-bahan membuat nengajō

Waktu penghujung bulan Disember dan awal bulan Januari merupakan musim paling sibuk bagi pejabat pos di Jepun. Masyarakat Jepun mengamalkan adat menghantar poskad tahun baru (年賀状, nengajō) kepada sanak-saudara, serupa dengan masyarakat Malaysia yang saling mengirim kad Hari Raya Aidilfitri. Tujuan asalnya adalah untuk pengirim sekeluarga bertanya khabar kepada sanak-saudara yang berjauhan. Justeru, adat ini wujud kerana terdapatnya orang yang hendak membalas salam sejahtera kenalan yang mereka tidak selalu berjumpaan.

Masyarakat Jepun menghantar poskad ini agar sempat disampaikan pada 1 Januari. Pihak perkhidmatan pos menjamin agar poskad ucapan sempat dihantar pada 1 Januari jika dikirim dalam batas masa tertentu, iaitu sekitar pertengahan bulan Disember, serta ditandai kata-kata nengajo. Untuk mengirim kad-kad tersebut tepat pada masanya, pejabat pos biasanya mengupah golongan pelajar secara sambilan untuk membantu menghantar poskad.

Mengikut adat, poskad ini tidak wajar dikirim jika terjadinya kematian dalam keluarga sepanjang tahun yang berlalu. Oleh itu, sepucuk poskad yang ringkas dihantar untuk memesan sanak-saudara agar tidak menghantar poskad tahun baru yang ceria, sebagai tanda hormat kepada yang meninggal.

Poskad Tahun Baru boleh dijumpai di mana-mana sahaja. Contohnya, kedai alat tulis menjual kad tercetak. Kebanyakan poskad ini berhiaskan bintang zodiak Cina bagi tahun baru dan ucapan tahun baru. Zodiak Cina terdiri daripada kitaran 12 tahun, setiap tahun diwakili sejenis haiwan, mengikut urutan berikut: tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, biri-biri, monyet, ayam, anjing, dan babi hutan. Misalnya, 2006 ialah tahun anjing, 2007 ialah tahun babi, 2008 ialah tahun tikus, dan 2009 pula tahun lembu. Watak haiwan kartun juga dijadikan hiasan bersesuaian dengan bintang zodiak yang disambut. Contohnya, kad tahun baru 2006 dihiasi watak anjing seperti Snoopy, manakala kad ucapan 2008 pula diserikan watak Mickey Mouse dan Minnie Mouse.

Poskad ini disertakan ruang kosong untuk pengirim menulis pesanan peribadi. Ada juga kad kosong untuk membolehkan penggunanya mereka kad sendiri. Cap getah yang beralaskan ucapan dan haiwan tahunan dijual di kedai, dan juga ramai yang membeli berus dakwat untuk menulis ucapan peribadi. Alat cetakan khas juga popular, khususnya di kalangan tukang kraf. Perisian komputer juga membolehkan artis mereka poskad sendiri dan mencetaknya dengan menggunakan mesin cetak berwarna. Seseorang yang ramai kawan pasti terpaksa menulis berlebihan, maka kedai cetak menawarkan beraneka poskad contoh yang berhiaskan ucapan pendek agar pengirim cuma menulis alamatnya. Walaupun menghadapi kebangkitan emel, namun nengajō tetap laris di Jepun.

Antara ucapan yang terdapat pada nengajō termasuk:

  • kotoshi mo yoroshiku o-negai-shimasu (今年もよろしくお願いします) Semoga kita bersama lagi di tahun akan datang
  • (shinnen) akemashite o-medetō-gozaimasu ((新年)あけましておめでとうございます) Semoga bergembira di ambang (Tahun Baru)
  • kinga shinnen (謹賀新年) Selamat Tahun Baru
  • shoshun (初春) "awal musim bunga"